Sirrul Assrar dari Syeikh Abdul Qadir Jailani
Allah
Yang Maha Tinggi menunjukkan jalan kepada para pencari supaya
mengingati-Nya: “Dan hendaklah kamu sebut Dia sebagaimana Dia pimpin
kamu. (Surah Baqaraah, ayat 198).
Ini
bermakna Pencipta kamu telah membawa kamu ke peringkat kesedaran dan
keyakinan yang tertentu dan kamu hanya boleh mengingati-Nya menurut
kadar keupayaan tersebut. Nabi s.a.w bersabda, “Ucapan zikir yang paling
baik adalah yang aku dan sekalian nabi-nabi bawa, itulah kalimah “La
ilaha illa Llah”.
Terdapat
berbagai-bagai peringkat zikir dan masing-masing ada cara yang
berlainan. Ada yang diucap dengan lidah secara kuat dan ada pula yang
diucapkan secara senyap, dari lubuk hati. Pada peringkat permulaan
seseorang perlu menyebutkan ucapan zikirnya dengan lidahnya secara
berbunyi. Kemudian peringkat demi peringkat zikir mengalir ke dalam
diri, turun kepada hati, naik kepada roh dan seterusnya pergi semakin
jauh iaitu kepada bahagian rahsia-rahsia, pergi lagi kepada yang lebih
jauh iaitu bahagian yang tersembunyi sehinggalah kepada yang paling
tersembunyi daripada yang tersembunyi. Sejauh mana zikir masuk ke dalam,
peringkat yang dicapainya, bergantung kepada sejauh mana Allah dengan
kemurahan- Nya membimbing seseorang.
Zikir
yang diucapkan dengan perkataan menjadi kenyataan bahawa hati tidak
lupa kepada Allah. Zikir secara senyap di dalam hati adalah pergerakan
perasaan. Zikir hati adalah dengan cara merasakan di dalam hati tentang
kenyataan tentang keperkasaan dan keelokan Allah. Zikir adalah melalui
pancaran cahaya suci yang dipancarkan oleh keperkasaan dan keelokan
Allah. Zikir pada tahap rahsia ialah melalui keghairahan (zauk) yang
diterima daripada pemerhatian rahsia suci itu. Zikir pada bahagian
tersembunyi membawa seseorang kepada: “Di tempat duduk yang hak, di sisi
Raja Agung yang sangat berkuasa”. (Surah Qamar, ayat 55).
Zikir
peringkat terakhir yang dipanggil khafi al-khafi – yang paling
tersembunyi daripada yang tersembunyi – membawa seseorang kepada suasana
fana diri sendiri dan penyatuan dengana yang hak. Dalam kenyataannya
tiada sesiapa kecuali Allah yang mengetahui keadaan orang yang telah
masuk ke dalam alam yang mengandungi semua pengetahuan, kesudahan kepada
semua dan segala perkara. “Dia mengetahui rahsia dan yang lebih
tersembunyi” . (Surah Ta Ha, ayat 7).
Bila
seseorang telah melepasi tahap zikir-zikir tersebut suasana jiwa yang
berlainan seolah-olah roh lain lahir dalam diri seseorang. Roh ini lebih
tulen dan seni daripada roh-roh yang lain. Ia adalah bayi kepada hati,
bayi kepada hakikat. Ketika dalam bentuk benih bayi ini mengajak dan
menarik orang lain untuk mencari dan menemui yang hak. Setelah ia lahir
bayi ini menggesa orang lain supaya mendapatkaan Zat Allah Yang Maha
Tinggi. Roh baharu ini yang dinamakan bayi kepada hati dan juga benih
serta keupayaannya tidak terdapat pada semua orang. Ia hanya terdapat
pada orang mukmin yang tulen. “Dia jualah yang tinggi darjat-Nya, yang
memiliki arasy. Dia kirim roh dari perintah-Nya kepada sesiapa yang Dia
kehendaki:. (Surah Mukmin, ayat 15).
Roh
khusus ini dihantar daripada makam Yang Maha Perkasa dan diletakkan di
dalam alam maya yang nyata di mana sifat-sifat Pencipta menyata pada
penciptaan, tetapi roh ini adalah kepunyaan alam yang hak. Ia tidak
berminat dan tidak memperdulikan apa sahaja melainkan Zat Allah. Nabi
s.a.w bersabda, “Dunia ini tidak disukai dan tidak dihajati oleh orang
yang inginkan akhirat. Akhirat pula tidak dihajati oleh orang yang
inginkan dunia, dan ia tidak akan diberi kepada mereka. Tetapi bagi roh
yang mencari Zat Allah dunia dan akhirat tidak menarik perhatiannya” .
Roh untuk yang hak. Orang yang memilikinya akan mencari, menemui dan
bersama Tuhannya.
Apa
sahaja yang kamu buat di sini zahir kamu mestilah menurut jalan yang
lurus. Ia hanya mungkin dengan mengikuti dan mematuhi serta memelihara
peraturan dan hukum agama. Untuk berbuat demikian seseorang haruslah
menyedari, mengingati Allah malam dan siang, zahir dan batin,
berterusan. Bagi mereka yang menyaksikan yang hak mengingati Allah
adalah wajib sebagaimana perintah-Nya: “Maka hendaklah kamu ingat kepada
Allah sambil berdiri dan sambil duduk dan sambil (berbaring) atas
rusukrusuk kamu” . (Surah Nisaa', ayat 103).
“Yang
mengingati Allah sambil berdiri dan sambil duduk dan sambil berbaring
dan memikirkan tentang kejadian langit-langit dan bumi (sambil berkata),
‘Wahai Tuhan kami, Engkau tidak jadikan (semua) ini dengan sia-sia.
Maha Suci Engkau'” . (Surah Imraan, ayat 191).
۰۞۰ ۰۞۰ ۰۞۰ ۰۞۰ ۰۞۰
Tidak ada komentar:
Posting Komentar