◆ Sirrul Assrar dari Syeikh Abdul Qadir Jailani ◆
Kamu
patut tahu bahawa manusia akan termasuk kepada salah satu daripada dua
golongan, golongan pertama ialah yang berada dalam kedamaian, keimanan,
bahagia dalam melakukan ketaatan kepada Allah , sementara golongan kedua
berada dalam keadaan tidak selamat, keraguan dan kerisauan dalam
keingkaran terhadap peraturan Tuhan. Kedua-dua nilai, ketaatan dan
keingkaran, ada di dalam diri seseorang. Jika kesucian, kebaikan dan
keikhlasan lebih menguasai, sifat-sifat mementingkan diri akan bertukar
menjadi suasana kerohanian dan bahagian diri yang ingkar akan dikalahkan
oleh bahagian diri yang baik. Sebaliknya jika seseorang mengikuti hawa
nafsu yang rendah dan kesenangan ego dirinya, sifat-sifat ingkar akan
menguasai bahagian diri yang satu lagi untuk menjadikannya ingkar dan
jahat. Jika kedua-dua sifat yang berlawanan itu sama-sama kuat
diharapkan yang baik itu boleh menang, sebagaimana yang dijanjikan:
“Barangsiapa kerjakan kebaikan maka baginya (ganjaran) sepuluh kali
ganda, dan barangsiapa kerjakan kejahatan maka Tidaklah dibalas dia
melainkan sebanyak (kejahatannya) itu, dan mereka tidak akan diniayai.
(Surah An'aam, ayat 160).
Dan
jika Allah kehendaki ditambah-Nya lagi ganjaran atas kebaikan. Namun
orang yang kebajikan dan kejahatannya sama banyak mesti lulus
perbicaraan pada hari pembalasan. Orang yang berjaya mengubah sifat
mementingkan diri kepada tidak mementingkan diri, hawa nafsu yang rendah
kepada cita-cita kerohanian, baginya tiada hisab, tiada catatan akan
diberikan kepadanya. Dia akan memasuki syurga tanpa melalui huru hara
hari kiamat. “Oleh sebab itu barangsiapa berat (timbangan) kebaikannya
maka dia di dalam kehidupan (akhirat) yang sentosa” . (Surah Qari'ah,
ayat 6 & 7).
Orang
yang kejahatannya lebih berat daripada kebaikannya akan dihukum menurut
kadar kejahatannya. Kemudian dia dikeluarkan daripada neraka, jika dia
beriman, dan akan masuk syurga.
Taat
dan ingkar bermakna baik dan jahat. Kedua-dua ini ada dalam diri
seseorang manusia. Yang baik boleh berubah menjadi jahat dan yang jahat
boleh berubah menjadi baik. Nabi s.a.w bersabda, “Orang yang kebaikan
menguasainya menemui keselamatan, keimanan dan kegembiraan dan menjadi
baik. Orang yang kejahatan lebih menguasai kebaikan, dia menjadi ingkar
dan jahat. Orang yang menyedari kesalahannya dan bertaubat dan mengubah
haluannya akan mendapati suasana ingkar akan bertukar menjadi taat dan
beribadat”.
Telah
menjadi ketentuan bahawa baik dan jahat, kehidupan yang diberkati bagi
orang yang taat dan kesengsaraan bagi yang ingkar, adalah keadaan yang
setiap orang dilahirkan dengannya. Kedua-duanya tersembunyi di dalam
bakat atau keupayaan seseorang. Nabi s.a.w bersabda, “Orang yang bertuah
menjadi baik adalah baik ketika di dalam kandungan ibunya, dan orang
berdosa yang jahat adalah pendosa di dalam kandungan ibunya” . Begitulah
keadaannya dan tiada siapa yang berhak berbincang mengenainya. Urusan
takdir bukan untuk dibincangkan. Jika dibiarkan perbincangan demikian ia
akan membawa kepada bidaah dan kekufuran.
Lagipun
tiada siapa boleh menjadikan takdir sebagai alasan untuk membuang
segala ikhtiar, semua perbuatan baik. Seseorang itu tidak boleh
mengatakan, ‘Jika aku ditakdirkan menjadi baik maka aku bersusah payah
membuat kebaikan sedangkan aku sudahpun diberkati'. Atau berkata, ‘Jika
aku sudah ditakdirkan menjadi jahat apa gunanya aku berbuat kebaikan'.
Jelas sekali pendirian demikian tidak benar. Tidak wajar mengatakan,
‘Jika keadaan aku sudah ditakdirkan pada azali apa untung atau rugi yang
aku harapkan dengan usahaku sekarang'. Contoh yang baik diberikan
kepada kita adalah perbandingan di antara Adam a.s dengan iblis yang
dilaknat. Iblis meletakkan kesalahan kepada takdir, yang menyebabkan dia
menjadi derhaka, maka dia menjadi kafir dan dibuang jauh daripada
keampunan dan kehampiran Tuhan. Adam a.s mengakui kesilapannya dan
memohon keampunan, menerima keampunan dari Allah dan diselamatkan.
Menjadi
kewajipan bagi orang Islam yang beriman untuk tidak cuba memahami
sebab-sebab yang tersimpan di dalam takdir. Orang cuba berbuat demikian
akan menjadi keliru dan tidak mendapat apa-apa melainkan keraguan.
Bahkan dia mungkin kehilangan keyakinan. Orang yang beriman mestilah
mempercayai kepada kebijaksanaan Allah yang mutlak. Segala yang manusia
lihat terjadi pada dirinya di dalam dunia ini mesti ada alasan tetapi
alasan itu bukan untuk difahami melalui lojik manusia kerana ia
berdasarkan kebijaksanaan Tuhan. Di dalam kehidupan ini bila kamu temui
pencacian terhadap Tuhan, kemunafikan, keingkaran, penipuan dan
lain-lain yang jahat, jangan biarkan perkara-perkara tersebut
menggoncangkan iman kamu. Ketahuilah Allah Yang Maha Tinggi dengan
kebijaksanaan mutlak bertanggungjawab kepada semua perkara dan Dia
lakukan apa yang kelihatan sebagai tidak baik sebagai menyatakan
kekuasaan-Nya yang mutlak. Penzahiran kekuasaan yang demikian mungkin
menyebabkan ada orang yang tidak tertahan dan menganggapnya sebagai
tidak baik tetapi ada rahsia besar di sebaliknya yang tiada makhluk yang
tahu melainkan Rasulullah s.a.w. Ada kisah orang arif berdoa kepada
Tuhannya, “Wahai Yang Maha Suci, semua telah diatur oleh Engkau.
Takdirku adalah kepunyaan-Mu. Ilmu yang Engkau letakkan padaku adalah
milik-Mu”. Ketika itu dia mendengar jawaban tanpa suara tanpa sepatah
perkataan, keluar dari dalam dirinya mengatakan, “Wahai hamba- Ku.
Segala yang engkau katakan adalah kepunyaan Yang Maha Esa dan dalam
keesaan. Ia bukan milik hamba-hamba”. Hamba yang beriman itu berkata,
“Wahai Tuhanku, aku telah menzalimi diriku, aku bersalah, aku berdosa”.
Selepas pengakuan itu sekali lagi dia mendengar dari dalam dirinya, “Dan
Aku mempunyai keampunan terhadap dirimu. Aku telah hapuskan
kesalahan-kesalahan kamu, Aku telah ampun kamu”.
Biar
mereka yang beriman tahu dan bersyukur yang segala kebaikan yang mereka
lakukan bukanlah dari mereka tetapi melalui mereka, kejayaan datangnya
dari Pencipta. Bila mereka bersalah biar mereka tahu bahawa kesalahan
mereka datangnya dari diri mereka sendiri, kepunyaan mereka dan mereka
boleh bertaubat. Kesalahan datangnya dari keegoan mereka yang batil.
Jika kamu memahami ini dan mengingatinya kamu termasuk ke dalam golongan
yang disebut Allah: “Dan yang apabila telah berbuat kejelikan atau
menganiayai diri-diri mereka maka mereka ingat kepada Allah dan mereka
minta diampunkan dosa-dosa mereka – bukankah tidak ada yang mengampunkan
dosa-dosa melainkan Allah? Dan mereka tidak berkekalan di atas dosa
yang mereka kerjakan, dan mereka tahu. Mereka itu balasannya ialah
keampunan dari Tuhan mereka, syurga-syurga yang mengalir padanya
sungaisungai, mereka akan kekal padanya, dan alangkah baiknya balasan
bagi orang-orang yang beramal”. (Surah Imraan, ayat 135 & 136).
Adalah
baik bagi orang yang beriman mengakui yang dirinya sendirilah punca
semua kesalahan dan dosanya. Itulah yang akan menyelamatkannya. Itu
lebih baik dan lebih benar daripada meletakkan kesalahan dirinya kepada
Yang Maha Perkasa, Maha Kuasa, Pencipta semua perkara.
Bila
Nabi s.a.w bersabda, “Telah diketahui bila seseorang itu berada di
dalam kandungan ibunya samada dia akan menjadi baik atau pendosa”
baginda maksudkan ‘dalam kandungan ibu' itu adalah empat anasir yang
melahirkan semua kekuatan atau tenaga dan kebolehan lahiriah. Dua
daripada anasir tersebut adalah tanah dan air yang bertanggungjawab
kepada pertumbuhan keyakinan dan pengetahuan, melahirkan kehidupan dan
lahir dalam hati sebagai tawaduk (kerendahan diri). Dua anasir lain
ialah api dan angin yang bertentangan dengan tanah dan air – membakar,
membinasa, membunuh. Kudrat Tuhan yang menyatukan anasir-anasir yang
berlawanan dan berbeza menjadi satu. Bagaimana air dan api boleh wujud
bersama? Bagaimana cahaya dan kegelapan boleh terkandung di dalam awan?
“Dia yang mengunjukkan kepada kamu kilat untuk menakutkankan dan kerana
harapan, dan Dia jadikan mega yang berat. Dan petir itu beribadat dengan
memuji Tuhannya, dan malaikat juga, lantaran takut kepada-Nya, dan Dia
kirim halilintar dan Dia kenakannya kepada sesiapa yang Dia kehendaki…”.
(Surah ar-Ra'd, ayat 12 & 13). Satu hari wali Allah Yahya bin
Mua'adh ar-Razi ditanya, “Bagaimana mengenali Allah?' Dia menjawab,
“Melalui gabungan yang bertentangan”.
Pertentangan
termasuk pada, dan sebenarnya keperluan bagi, memahami sifat-sifat
Allah. Dengan menghadapkan diri kepada hakikat Ilahi seseorang menjadi
cermin yang membalikkan kebenaran itu, juga sifat Yang Maha Perkasa
dibalikkan. Dalam diri manusia terkandung seluruh alam maya. Sebab itu
dia dipanggil penggabung yang banyak. Allah menciptakan manusia dengan
dua tangan-Nya, tangan kemurahan-Nya dan tangan keperkasaan-Nya,
keperkasaan dan kekuasaan. Jadi, manusia adalah cermin yang menunjukkan
kedua-dua belah, yang kasar serta tebal dan yang halus serta indah.
Semua
nama-nama Ilahi menyata pada manusia. Semua makhluk yang lain hanya
sebelah sahaja. Allah menciptakan iblis dan keturunannya dengan sifat
kekerasan-Nya. Dia ciptakan malaikat dengan sifat kemurahan-Nya.
Nilai-nilai kesucian dan kebaktian yang berterusan terkandung dalam
kejadian malaikat, sementara iblis dan keturunannya yang diciptakan
dengan sifat kekerasan-Nya, mempunyai nilai kejahatan, kerana itu iblis
menjadi takabur, dan bila Allah perintahkan sujud kepada Adam dia
ingkar.
Oleh
kerana manusia mempunyai kedua-dua ciri alam tinggi dan rendah, dan
Allah telah memilih utusan-utusan dan wali-wali-Nya dari kalangan
manusia, mereka tidak bebas daripada kesilapan. Nabi-nabi dipelihara
dari dosa-dosa besar tetapi kesilapan kecil harus berlaku pada mereka.
Wali-wali pula tidak terjamin dipelihara daripada dosa tetapi adalah
dikatakan waliwali itu hampir dengan Tuhan, mencapai makam kesempurnaan,
mereka masuk ke bawah perlindungan Tuhan daripada dosa-dosa besar.
Syaqiq
al-Baqi berkata, “Terdapat lima tanda kebenaran: perangai yang lemah
lembut dan lembut hati, menangis kerana menyesal, mengasingkan diri dan
tidak peduli tentang dunia, tidak bercita-cita tinggi, dan memiliki rasa
hati (gerak hati atau intuisi). Tanda-tanda pendosa juga lima ; keras
hati, mempunyai mata yang tidak pernah menangis, mencintai dunia dan
kesenangannya, bercita-cita tinggi, tidak bermalu dan tidak ada rasa
atau gerak hati”.
Nabi
s.a.w meletakkan empat nilai pada orang yang baik-baik, “Boleh
dipercayai dan menjaga apa yang diamanahkan kepadanya dan
mengembalikannya. Menepati janji. Bercakap benar, tidak berbohong. Tidak
kasar dalam perbincangan dan tidak menyakitkan hati orang lain”.
Baginda s.a.w juga memberitahu empat tanda pendosa, “Tidak boleh
dipercayai dan merosakkan amanah yang diberikan kepadanya, mungkir
janji, menipu, suka bertengkar, memaki apabila berbincang dan
menyakitkan hati orang lain” . Seterusnya pendosa tidak dapat memaafkan
kawan-kawannya. Ini tanda tiada iman kerana kemaafan menjadi tanda utama
orang beriman. Allah memerintahkan rasul-Nya: “Berilah maaf, dan
suruhlah mereka (manusia) berbuat kebaikan, dan berpalinglah daripada
orang-orang yang bodoh”. (Surah A'raaf, ayat 199).
Perintah
‘maafkanlah' bukan hanya tertuju kepada Rasulullah s.a.w seorang
sahaja. Ia mengenai semua orang dan tentu sahaja termasuk mereka yang
beriman dengan Rasulullah s.a.w. Perkataan ‘maafkanlah' bermakna jadikan
tabiat memafkan, jadikan sifat atau peribadi. Sesiapa yang ada sifat
pemaaf menerima satu daripada nama-nama Allah – ar-Rauf – Yang
Memaafkan. “Barangsiapa memaafkan dan membereskan maka ganjarannya
(adalah) atas (tanggungan) Allah”. (Surah Syura, ayat 40).
Ketahuilah
ketaatan kepada Allah bertukar menjadi ingkar, kejahatan dan dosa
menjadi kebaikan, tidak berlaku dengan sendiri, tetapi dengan
rangsangan, pengaruh, tindakan serta usaha diri sendiri. Nabi s.a.w
bersabda, “Semua anak dilahirkan muslim. Ibu bapanya yang menjadikannya
Yahudi, Nasrani atau Majusi”. Setiap orang ada bakat untuk menjadi baik
atau jahat, boleh memiliki sifat-sifat baik dan buruk dalam masa yang
sama. Jadi, adalah salah menghukum seseorang atau sesuatu sebagai
sepenuhnya baik atau buruk. Tetapi benar jika dikatakan seseorang itu
lebih banyak kebaikannya daripada kejahatannya ataupun sebaliknya.
Ini
bukan bermakna manusia masuk syurga tanpa amalan baik, juga bukan dia
dihantar ke neraka tanpa amalan buruk. Berfikir cara demikian
bertentangan dengan prinsip Islam. Allah menjanjikan syurga kepada
hamba-hamba-Nya yang beriman dan beramal salih dan diancam-Nya
orang-orang yang berdosa dengan azab neraka. “Barangsiapa berbuat baik
maka (adalah) untuk kebaikan dirinya dan barangsiapa berbuat jahat maka
untuk dirinya. Kemudian kepada Tuhan kamulah kamu akan dikembalikan”.
(Surah Jaasiaah, ayat 15).
"Di
hari ini dibalas setiap jiwa dengan apa yang dia telah usahakan. Tidak
ada kezaliman pada hari ini. Sesungguhnya Allah cepat menghitung”.
(Surah Mukmin, ayat 17).
"Kerana
apa juga amal yang baik yang kamu sediakan untuk diri kamu nanti kamu
dapati (ganjaran)nya di sisi Allah”. (Surah Baqaraah, ayat 110).
۰۞۰ ۰۞۰ ۰۞۰ ۰۞۰ ۰۞۰
Tidak ada komentar:
Posting Komentar