Sirrul Assrar dari Syeikh Abdul Qadir Jailani
Tahap-tahap
dan peringkat-peringkat perubahan kerohanian telah pun disebut. Perlu
ditegaskan bahawa setiap peringkat dicapai terutamanya dengan taubat.
Bolehlah dipelajari cara bertaubat dengan orang yang mengetahui cara
berbuat demikian dan yang telah sendirinya bertaubat. Taubat yang
sebenar dan menyeluruh merupakan langkah pertama di dalam perjalanan.
“(Ingatlah) tatkala orang-orang kafir itu adakan dalam hati mereka
kesombongan (iaitu) kesombongan jahiliah. Lalu Allah turunkan
ketenteraman atas rasul-Nya dan atas mukmin. Dan Dia wajibkan mereka
(ucapkan) perkataan menjaga keselamatan (taubat) kerana mereka lebih
berhak dengan itu, dan memang (mereka) ahlinya, dan adalah Allah
mengetahui tiap sesuatu”. (Surah Fath, ayat 26).
Keadaan
takutkan Allah mempunyai maksud yang sama dengan kalimah “La ilaha illa
Llah” – tiada Tuhan, tiada apa-apa, kecuali Allah. Bagi orang yang
mengetahui ini akan ada perasaan takut kehilangan-Nya, kehilangan
perhatian-Nya, cinta-Nya, keampunan-Nya; dia takut dan malu melakukan
kesalahan sedangkan Dia melihat, dan takutkan azab-Nya. Jika seseorang
itu tidak berkeadaan demikian dia perlu mendapatkaan orang yang takutkan
Allah dan menerima keadaan takutkan Allah itu daripada orang berkenaan.
Sumber
dari mana perkataan itu diterima mestilah bersih dan suci daripada
segala-galanya kecuali Allah, dan sesiapa yang menerimanya mestilah ada
kebolehan untuk membezakan antara perkataan orang yang suci hatinya
dengan perkataan orang awam. Penerimanya mestilah sedar cara perkataan
itu diucapkan, kerana perkataan yang bunyinya sama mungkin mempunyai
maksud yang jauh berbeza. Tidak mungkin perkataan yang datangnya
daripada sumber yang asli sama dengan perkataan yang datangnya daripada
sumber lain.
Hatinya
menjadi hidup bila dia menerima benih tauhid daripada hati yang hidup
kerana benih yang demikian sangat subur, itulah benih kehidupan. Tidak
ada yang tumbuh daripada benih yang kering lagi tiada kehidupan. Kalimah
suci “La ilaha illa Llah” disebut dua kali di dalam Quran menjadi
bukti. “(Kerana) apabila dikata kepada mereka “Tiada Tuhan melainkan
Allah” mereka menyombong. Dan mereka berkata,‘Apakah kami mesti
tinggalkan tuhan-tuhan kami buat (mengikut) seorang ahli syair dan
gila?” (Surah Shaaffaat. Ayat 35 & 36).
Ini
adalah keadaan orang awam yang baginya rupa luar termasuk kewujudan
zahirnya adalah tuhan-tuhan. “Oleh itu Ketahuilah bahawa tidak ada Tuhan
melainkan Allah. Dan mintalah perlindungan bagi buah amal kamu, dan
bagi mukmin dan mukminat, dan Allah mengetahui tempat usaha kamu (di
siang hari) dan tempat kembali kamu (pada malam hari)”. (Surah Muhammad,
ayat 19).
Firman Allah ini menjadi panduan kepada orang-orang beriman yang tulen yang takutkan Allah.
Saidina
Ali r.a meminta Rasulullah s.a.w mengajarkan kepadanya cara yang mudah,
paling bernilai, paling cepat kepada keselamatan. Baginda s.a.w menanti
Jibrail memberikan jawapannya daripada sumber Ilahi. Jibrail datang dan
mengajarkan baginda s.a.w mengucapkan “La ilaha” sambil memusingkan
mukanya yang diberkati ke kanan, dan mengucapkan “illa Llah” sambil
memusingkan mukanya ke kiri, ke arah hati sucinya yang diberkati.
Jibrail mengulanginya tiga kali; Nabi s.a.w mengulanginya tiga kali dan
mengajarkan yang demikian kepada Saidina Ali r.a dengan mengulanginya
tiga kali juga. Kemudian baginda s.a.w mengajarkan yang demikian kepada
sahabat-sahabat baginda. Saidina Ali r.a merupakan orang yang pertama
bertanya dan menjadi orang yang pertama diajarkan.
Kemudian
satu hari selepas kembali daripada peperangan, Nabi s.a.w berkata
kepada pengikut-pengikut baginda, “Kita baharu kembali daripada
peperangan yang kecil untuk menghadapi peperangan yang besar” . Baginda
s.a.w merujukkan kepada perjuangan dengan ego diri sendiri, keinginan
yang rendah yang menjadi musuh kepada penyaksian kalimah tauhid. Baginda
s.a.w bersabda, “Musuh kamu yang paling besar ada di bawah rusuk kamu
”.
Cinta Ilahi tidak akan hidup sehinggalah musuhnya, hawa nafsu badaniah kamu, mati dan meninggalkan kamu.
Mula-mulanya
kamu mesti bebas daripada ego kamu yang mengheret kamu kepada
kejahatan. Kemudian kamu akan mula memiliki suara hati yang belum penuh,
walaupun kamu masih belum bebas sepenuhnya daripada dosa. Kamu akan
memiliki perasaan mengkritik diri sendiri – tetapi ia belum mencukupi.
Kamu mesti melepasi tahap tersebut kepada peringkat di mana hakikat yang
sebenarnya dibukakan kepada kamu, kebenaran tentang benar dan salah.
Kemudian kamu akan berhenti melakukan kesalahan dan akan hanya melakukan
kebaikan. Dengan demikian diri kamu akan menjadi bersih. Di dalam
menentang hawa nafsu dan tarikan badan kamu, kamu mestilah melawan nafsu
kehaiwanan – kerakusan, terlalu banyak tidur, pekerjaan yang sia-sia –
dan menentang sifat-sifat haiwan liar di dalam diri kamu – kekejian,
marah, kasar dan berkelahi. Kemudian kamu mesti usahakan membuang
perangai-perangai ego yang jahat, takabur, sombong, dengki, dendam,
tamak dan lain-lain penyakit tubuh dan hati kamu. Cuma orang yang
berbuat demikian yang benar-benar bertaubat dan menjadi bersih, suci
murni dan tulen. “Sesungguhnya Allah kasih kepada orang yang bertaubat
dan memelihara kesuciannya”. (Surah Baqarah, ayat 222).
Dalam
melakukan taubat seseorang itu mestilah mengambil perhatian supaya
penyesalannya tidak samar-samar dan tidak juga secara umum agar dia
tidak jatuh ke dalam ancaman Allah: “Tidak kira berapa banyak mereka
bertaubat mereka tidak sebenarnya menyesal. Taubat mereka tidak
diterima”.
Ini
ditujukan kepada mereka yang hanya mengucapkan kata-kata taubat tetapi
tidak tahu sejauh mana dosa mereka, malah tidak mengambil tindakan
pembaikan dan pencegahan. Itulah taubat yang biasa, taubat zahir yang
tidak menusuk kepada punca dosa. Ia adalah umpama orang yang cuba
menghapuskan rumput dengan memotong bahagian di atas tanah tetapi tidak
mencabut akarnya yang di dalam bumi. Tindakan yang demikian membantu
rumput untuk tumbuh dengan lebih segar. Orang yang bertaubat dengan
mengetahui kesalahannya dan punca kesalahan itu berazam tidak
mengulanginya dan membebaskan dirinya daripada kesalahan itu, mencabut
akar pokok yang merosakkan itu. Cangkul yang digunakan untuk menggali
akarnya, punca kepada dosa-dosa, ialah pengajaran kerohanian daripada
guru yang benar. Tanah mestilah dibersihkan sebelum ditanam pokok orkid.
“Dan Kami bawakan perumpamaan kepada manusia supaya mereka memikirkannya”. (Surah Hasyr, ayat 21).
“Dia
jualah Penerima taubat hamba-hamba-Nya dan mengampunkan dosa, dan Dia
mengetahui apa yang kamu kerjakan”. (Surah Syura, ayat 25).
“Kecuali
orang yang bertaubat dan beriman dan mengerjakan amal salih, maka
mereka itu Allah tukarkan kejahatan mereka dengan kebaikan kerana adalah
Allah itu Pengampun, Penyayang”. (Surah Furqaan, ayat 70).
Ketahuilah taubat yang diterima tandanya ialah seseorang itu tidak lagi jatuh ke dalam dosa tersebut.
Ada
dua jenis taubat , taubat orang dan taubat mukmin sejati . Orang awam
berharap meninggalkan kejahatan dan masuk kepada kebaikan dengan cara
mengingati Allah dan mengambil langkah usaha bersungguhsungguh,
meninggalkan hawa nafsunya dan kesenangan badannya dan menekankan
egonya. Dia mesti meninggalkan keegoannya yang ingkar terhadap peraturan
Allah dan masuk kepada taat. Itulah taubatnya yang menyelamatkannya
dari neraka dan memasukkannya ke dalam syurga.
Orang
mukmin sejati, hamba Allah yang tulen, berada di dalam suasana yang
jauh berbeza. Mereka berada pada makam makrifat yang jauh lebih tinggi
daripada makam orang awam yang paling baik. Sebenarnya bagi mereka tidak
ada lagi anak tangga untuk dipanjat; mereka telah sampai kepada
kehampiran dengan Allah. Mereka telah meninggalkan kesenangan dan nikmat
dunia ini dan menikmati kelazatan alam kerohanian – rasa kehampiran
dengan Allah, nikmat menyaksikan Zat-Nya dengan mata keyakinan.
Perhatian
orang awam tertuju kepada dunia ini dan kesenangan mereka adalah
merasai nikmat kebendaan dan kewujudan kebendaannya. Malah, jika
kewujudan kebendaan manusia dan dunia merupakan satu kesilapan begitu
jugalah nikmat dan kecacatan yang paling baik daripadanya. Katakata yang
diucapkan oleh orang arif, “Kewujudan dirimu merupakan dosa,
menyebabkan segala dosa menjadi kecil jika dibandingkan dengannya” .
Orang arif selalu mengatakan bahawa kebaikan yang dilakukan oleh orang
baik-baik tidak mencapai kehampiran dengan Allah tidak lebih daripada
kesalahan orang yang hampir dengan-Nya. Jadi, bagi mengajar kita memohon
keampunan terhadap kesalahan yang tersembunyi yang kita sangkakan
kebaikan, Nabi s.a.w yang tidak pernah berdosa memohon keampunan
daripada Allah sebanyak seratus kali sehari. Allah Yang Maha Tinggi
mengajarkan kepada rasul-Nya: “Pintalah perlindungan bagi buah amal kamu
dan bagi mukmin dan mukminat”. (Surah Muhamamd, ayat 19).
Dia
jadikan rasul-Nya yang suci murni sebagai teladan tentang cara
bertaubat – dengan merayu kepada Allah supaya menghilangkan ego
seseorang, sifat-sifatnya dan dirinya, semuanya pada diri seseorang,
mencabut kewujudan diri seseorang. Inilah taubat yang sebenarnya.
Taubat
yang demikian meninggalkan segala-galanya kecuali Zat Allah, dan
berazam untuk kembali kepada-Nya, kembali kepada kehampiran-Nya untuk
melihat Wajah Ilahi. Nabi s.a.w menjelaskan taubat yang demikian dengan
sabda baginda s.a.w, “ Ada sebahagian hamba-hamba Allah yang tulen yang
tubuh mereka berada di sini tetapi hati mereka berada di sana , di bawah
arasy”. Hati mereka berada pada langit kesembilan, di bawah arasy Allah
kerana penyaksian suci terhadap Zat-Nya tidak mungkin berlaku pada alam
bawah.
Di
sini hanya kenyataan atau penzahiran sifat-sifat suci-Nya yang dapat
disaksikan, memancar ke atas cermin yang bersih kepunyaan hati yang
suci. Saidina Umar r.a berkata, “Hatiku melihat Tuhanku dengan cahaya
Tuhanku”. Hati yang suci adalah cermin di mana keindahan, kemuliaan dan
kesempurnaan Allah memancar. Nama lain yang diberi kepada suasana ini
ialah pembukaan (kasyaf), menyaksikan sifat-sifat Ilahi yang suci.
Bagi
memperolehi suasana tersebut, untuk membersihkan dan menyinarkan hati,
perlulah kepada guru yang matang, yang di dalam keesaan dengan Allah,
yang disanjung dan dimuliakan oleh semua, dahulu dan sekarang. Guru
berkenaan mestilah telah sampai kepada makam kehampiran dengan Allah dan
dihantar balik ke alam rendah oleh Allah untuk membimbing dan
menyempurnakan mereka yang layak tetapi masih mempunyai kecacatan.
Di
dalam penurunan mereka untuk melakukan tugas tersebut wali-wali Allah
mestilah berjalan Sesuai dengan sunnah Rasulullah s.a.w dengan mengikuti
teladan baginda s.a.w, tetapi tugas mereka berlainan dengan tugas
rasul. Rasul diutuskan untuk menyelamatkan orang ramai dan juga
orang-orang yang beriman. Guru-guru tadi pula tidak dihantar untuk
mengajar semua orang tetapi hanyalah sebilangan yang dipilih sahaja.
Rasul-rasul diberi kebebasan dalam menjalankan tugas mereka, sementara
wali-wali yang mengambil tugas sebagai guru mesti mengikuti jalan
rasul-rasul dan nabinabi.
Guru
kerohanian yang mengaku diri mereka merdeka, menyamakan dirinya dengan
nabi, jatuh kepada kesesatan dan kekufuran. Bila Nabi s.a.w mengatakan
sahabat-sahabat baginda yang arif adalah umpama nabi-nabi Bani Israil,
baginda memaksudkan lain daripada ini – kerana nabi-nabi yang datang
selepas Musa a.s semuanya mengikuti prinsip agama yang dibawa oleh Musa
a.s. Mereka tidak membawa peraturan baharu. Mereka mengikuti
undang-undang yang sama. Seperti mereka juga orang-orang arif dari
kalangan umat Nabi Muhammad s.a.w yang bertugas membimbing sebahagian
daripada orang-orang suci yang dipilih, mengikuti kebijaksanaan Nabi
s.a.w, tetapi menyampaikan perintah dan larangan dengan cara baharu yang
berbeza, terbuka dan jelas, menunjukkan kepada murid-murid mereka
dengan perbuatan yang mereka kerjakan pada masa dan keadaan yang
berlainan. Mereka memberi dorongan kepada murid-murid mereka dengan
menunjukkan kelebihan dan keindahan prinsip-prinsip agama. Tujuan mereka
ialah membantu pengikut-pengikut mereka menyucikan hati yang menjadi
tapak untuk membena tugu makrifat.
Dalam
semua itu mereka mengikut teladan daripada pengikut-pengikut Rasulullah
s.a.w yang terkenal sebagai ‘golongan yang memakai baju bulu' yang
telah meninggalkan semua aktiviti keduniaan untuk berdiri di pintu
Rasulullah s.a.w dan berada hampir dengan baginda. Mereka menyampaikan
khabar sebagaimana mereka menerimanya secara langsung daripada mulut
Rasulullah s.a.w. Dalam kehampiran mereka dengan Rasulullah s.a.w mereka
telah sampai kepada peringkat di mana mereka boleh bercakap tentang
rahsia israk dan mikraj Rasulullah s.a.w sebelum baginda membuka rahsia
tersebut kepada sahabat-sahabat baginda.
Wali-wali
yang menjadi guru memiliki kehampiran yang serupa dengan Nabi s.a.w
dengan Tuhannya. Amanah dan penjagaan terhadap ilmu ketuhanan yang
serupa dianugerahkan kepada mereka. Mereka merupakan Pemegang sebahagian
daripada kenabian, dan diri batin mereka selamat di bawah penjagaan
Rasulullah s.a.w.
Tidak
semua orang yang memiliki ilmu berada di dalam keadaan tersebut. Mereka
yang sampai ke situ adalah yang lebih hampir kepada Rasulullah s.a.w
daripada anak-anak dan keluarga mereka sendiri dan mereka adalah umpama
anak-anak kerohanian Rasulullah s.a.w yang hubungannya lebih erat
daripada hubungan darah. Mereka adalah pewaris sebenar kepada Nabi
s.a.w. Anak yang sejati memiliki zat dan rahsia bapanya pada rupa
zahirnya dan juga pada batinnya. Nabi s.a.w menjelaskan rahasia ini,
“Ilmu khusus adalah umpama khazanah rahasia yang hanya mereka yang
mengenali Zat Allah boleh mendapatkannya. Namun bila rahasia itu
dibukakan orang yang mempunyai kesedaran dan ikhlas tidak menafikannya”.
Ilmu
tersebut dimasukkan kepada Nabi s.a.w pada malam baginda s.a.w mikraj
kepada Tuhannya. Rahsia itu tersembunyi di dalam diri baginda di sebalik
tiga ribu tabir hijab. Baginda s.a.w tidak membuka rahsianya melainkan
kepada sebahagian pengikut baginda yang sangat hampir dengan baginda.
Melalui penyebaran dan keberkatan rahsia inilah Islam akan terus
memerintah sehingga ke hari kiamat.
Pengetahuan
batin tentang yang tersembunyi membawa seseorang kepada rahsia
tersebut. Sains, kesenian dan kemahiran keduniaan adalah umpama kerangka
kepada pengetahuan batin. Mereka yang memiliki pengetahuan kerangka itu
bolehlah mengharapkan satu hari nanti mereka diberi kesempatan untuk
memiliki apa yang di dalam kerangka. Sebahagian daripada mereka yang
berilmu memiliki apa yang patut dimiliki oleh seorang manusia secara
umumnya sementara sebahagian yang lain menjadi ahli dan memelihara ilmu
tersebut daripada hilang. Ada golongan yang menyeru kepada Allah dengan
nasihat yang baik. Sebahagian daripada mereka mengikuti sunnah Nabi
s.a.w dan dipimpin oleh Saidina Ali r.a. yang menjadi pintu kepada
gedung ilmu yang melaluinya masuklah mereka yang menerima undangan dari
Allah. “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan bijaksana dan nasihat dan
bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik” . (Surah Nahl, ayat 125).
Maksud
dan perkataan mereka adalah sama. Perbezaan pada zahirnya hanyalah pada
perkara-perkara terperinci dan cara pelaksanaannya.
Sebenarnya
ada tiga makna yang kelihatan sebagai tiga jenis ilmu yang berbeza –
dilakukan secara berbeza, tetapi menjurus kepada yang satu Sesuai dengan
sunnah Rasulullah s.a.w. Ilmu dibahagikan kepada tiga yang tidak ada
seorang manusia boleh menanggung keseluruhan beban ilmu itu juga tidak
berupaya mengamalkan dengan sekaliannya.
Bahagian
pertama ayat di atas “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan bijaksana
(hikmah)” , Sesuai dengan makrifat, zat dan permulaan kepada segala
sesuatu, pemiliknya mestilah sebagaimana Nabi s.a.w beramal Sesuai
dengannya. Ia hanya dikurniakan kepada lelaki sejati yang berani,
tentera kerohanian yang akan mempertahankan kedudukannya dan
menyelamatkan ilmu tersebut. Nabi s.a.w bersabda, “Kekuatan semangat
lelaki sejati mampu menggoncang gunung” . Gunung di sini menunjukkan
keberatan hati sesetengah manusia. Doa lelaki sejati yang menjadi
tentera kerohanian dimakbulkan. Bila mereka menciptakan sesuatu ia
berlaku, bila mereka mahukan sesuatu hilang maka ia pun hilang. “Dia
kurniakan hikmah kepada sesiapa yang Dia kehendaki, dan Barangsiapa
dikurniakan hikmah maka sesungguhnya dia telah diberi kebajikan yang
banyak”. (Surah Baqarah, ayat 269).
Jenis
kedua ialah ilmu zahir yang disebut Quran sebagai “seruan yang baik”.
Ia menjadi kulit kepada hikmah kebijaksanaan rohani. Mereka yang
memilikinya menyeru kepada kebaikan, mengajar manusia berbuat baik dan
meninggalkan larangan-Nya. Nabi s.a.w memuji mereka. Orang yang berilmu
menyeru dengan lemah lembut dan baik hati, sementara yang jahil menyeru
dengan kasar dan kemarahan.
Jenis
ketiga ialah ilmu yang menyentuh kehidupan manusia di dalam dunia. Ia
disebut sebagai ilmu agama (syariat) yang menjadi sarang kepada hikmah
kebijaksanaan (makrifat). Ia adalah ilmu yang diperuntukkan kepada
mereka yang menjadi pemerintah manusia; menjalankan keadilan ke atas
sesama manusia; pentadbiran manusia ke atas sesama manusia. Bahagian
terakhir ayat Quran yang di atas tadi menceritakan tugas mereka “dan
berbincanglah dengan mereka dengan cara yang lebih baik”. Mereka ini
menjadi kenyataan kepada sifat Allah “al-Qahhar” Yang Maha Keras. Mereka
berkewajipan menjaga peraturan di kalangan manusia selaras dengan hukum
Tuhan, seumpama sabut melindungi tempurung dan tempurung melindungi
isi.
Nabi
s.a.w menasihatkan, “Biasakan dirimu berada di dalam majlis orang-orang
arif, taatlah kepada pemimpin kamu yang adil. Allah Yang Maha Tinggi
menghidupkan hati dengan hikmah seperti Dia jadikan bumi yang mati hidup
dengan tumbuh-tumbuhan dengan menurunkan hujan” . Baginda s.a.w juga
bersabda , “Hikmah adalah harta yang hilang bagi orang yang beriman,
dikutipnya di mana sahaja ditemuinya”.
Malah
perkataan yang diucapkan oleh manusia biasa datangnya daripada Loh
Terpelihara menurut hukum Allah terhadap segala perkara daripada awal
hingga akhir. Loh itu disimpan pada alam tinggi pada akal asbab tetapi
perkataan diucapkan menurut makam seseorang. Perkataan mereka yang telah
mencapai makam makrifat adalah secara langsung daripada alam tersebut,
makam kehampiran dengan Allah. Di sana tidak ada perantaraan.
Ketahuilah
bahawa semua akan kembali kepada asal mereka. Hati, zat, mesti
dikejutkan; jadikan ianya hidup untuk mencari jalan kembali kepada
asalnya yang suci murni. Ia mesti mendengar seruan. Seseorang mesti
mencari orang yang orang yang daripadanya seruan itu muncul, melaluinya
zahir seruan. Itulah guru yang sebenar. Ini merupakan kewajipan bagi
kita. Nabi s.a.w bersabda, “Menuntut ilmu wajib bagi setiap orang Islam
lelaki dan perempuan”. Ilmu tersebut merupakan peringkat terakhir semua
ilmu, itulah ilmu makrifat, ilmu yang akan membimbing seseorang kepada
asalnya, yang sebenar (hakikat). Ilmu yang lain perlu menurut sekadar
mana keperluannya. Allah menyukai mereka yang meninggalkan cita-cita dan
angan-angan kepada dunia, kemuliaan dan kebesarannya, kerana
kepentingan duniawi ini menghalang seseorang kepada Allah. “Katakanlah:
“Aku tidak meminta kepadamu upah atas (menyampaikan)nya, kecuali
percintaan (kepadaku) lantaran kerabat”. (Surah Syura, ayat 23).
Ditafsirkan maksud perkataan “apa yang hampir dengan kamu” ialah datang hampir dengan kebenaran.
๑๑๑๑๑๑๑๑๑๑๑๑๑๑๑๑๑๑๑๑
Tidak ada komentar:
Posting Komentar