◆ Sirrul Assrar dari Syeikh Abdul Qadir Jailani ◆
Melihat
Allah ada dua jenis: Pertama melihat sifat keindahan Allah yang
sempurna secara langsung di akhirat' dan satu lagi melihat sifatsifat
ketuhanan yang dipancarkan ke atas cermin yang jernih kepunyaan hati
yang tulen di dalam kehidupan ini . Dalam hal tersebut penyaksian
kelihatan sebagai penzahiran cahaya keluar daripada keindahan Allah yang
sempurna dan dilihat oleh mata hati yang hakiki. “Hati tidak menafikan
apa yang dia lihat” . (Surah Najmi, ayat 11).
Mengenai
melihat kenyataan Allah melalui perantaraan, Nabi s.a.w bersabda, “Yang
beriman adalah cermin kepada yang beriman” . Yang beriman yang pertama,
cermin dalam ayat ini, adalah hati yang beriman yang suci murni,
sementara yang beriman kedua adalah Yang Melihat bayangan-Nya di dalam
cermin itu, Allah Yang Maha Tinggi. Sesiapa yang sampai kepada makam
melihat kenyataan sifat Allah di dalam dunia ini akan melihat Zat Allah
di akhirat, tanpa rupa tanpa bentuk.
Kenyataan
ini disahkan oleh Saidina Umar r.a dengan katanya, “Hatiku melihat
Tuhanku dengan cahaya Tuhanku” . Saidina Ali r.a berkata, “Aku tidak
menyembah Allah kecuali aku melihat-Nya” . Mereka berdua tentu telah
melihat sifat-sifat Allah dalam kenyataan. Jika seseorang melihat cahaya
matahari masuk melalui jendela dan dia berkata, “Aku melihat matahari”,
dia berkata benar.
Allah
memberi gambaran yang jelas tentang kenyataan sifat-sifat-Nya: “ Allah
itu nur bagi langit-langit dan bumi. Bandingan nur-Nya (adalah) seperti
satu kurungan pelita yang di dalamnya ada pelita (sedang) pelita itu
dalam satu kaca, (dan) kaca itu sebagai bintang yang seperti mutiara,
yang dinyalakan (dengan minyak) dari pohon yang banyak faedah (iaitu)
zaitun yang bukan bangsa timur dan bukan bangsa barat, yang minyaknya
(sahaja) hampir menerangi, walaupun tidak disentuh api, nur atas nur,
Allah pimpin kepada nur- Nya siapa yang Dia kehendaki, dan Allah
mengadakan perumpamaan bagi manusia, dan Allah mengetahui tiap sesuatu” .
(Surah Nuur, ayat 35).
Perumpamaan
dalam ayat ini adalah hati yang yakin penuh di kalangan orang yang
beriman. Lampu yang menerangi bekas hati itu ialah hakikat atau intipati
kepada hati, sementara cahaya yang dipancarkan ialah rahsia Tuhan, ‘roh
sultan'. Kaca adalah lutsinar dan tidak memerangkap cahaya di dalamnya
tetapi ia melindunginya sambil menyebarkannya kerana ia umpama bintang.
Sumber cahaya adalah pohon Ilahi. Pohon itu adalah makam atau suasana
keesaan, menjalar dengan dahan dan akarnya, memupuk prinsip-prinsip
iman, berhubung tanpa perantaraan dengan bahasa yang asli.
Secara
langsung, melalui bahasa yang asli itulah Nabi s.a.w menerima pembukaan
al-Quran. Dalam kenyataan Jibrail membawa firman Tuhan hanya setelah
firman tersebut diterima – ini adalah untuk faedah kita supaya kita
boleh mendengarnya dalam bahasa manusia. Ini juga memperjelaskan
siapakah yang tidak percaya dan munafik dengan memberi mereka peluang
untuk menafikannya seperti mereka tidak percaya kepada malaikat. “Dan
sesungguhnya diwahyukan kepada kamu Quran (ini) dari sisi (Tuhan) yang
bijaksana, yang mengetahui” . (Surah Naml, ayat 6).
Oleh
kerana Nabi s.a.w menerima pembukaan sebelum Jibrail membawanya kepada
baginda, setiap kali Jibrail membawa ayat-ayat suci itu Nabi s.a.w
mendapatinya di dalam hatinya dan membacanya sebelum ayat itu diberikan.
Inilah alasan bagi ayat: “Dan janganlah engkau terburu-buru dengan
Quran sebelum habis diwahyukan kepada kamu” . (Surah Ta Ha, ayat 114).
Keadaan
ini menjadi jelas sewaktu Jibrail menemani Nabi s.a.w pada malam
mikraj, Jibrail tidak terdaya untuk pergi lebih jauh daripada Sidratul
Muntaha. Dia berkata, “Jika aku ambil satu langkah lagi aku akan
terbakar” . Jibrail membiarkan Nabi s.a.w meneruskan perjalanan seorang
diri.
Allah
menggambarkan pokok zaitun yang diberkati, pokok keesaan, bukan dari
timur dan bukan dari barat. Dalam lain perkataan ia tidak ada permulaan
dan tidak ada kesudahan, dan cahayanya yang menjadi sumber tidak terbit
dan tidak terbenam. Ia kekal pada masa lalu dan tiada kesudahan pada
masa akan datang. Kedua-dua Zat Allah dan sifat-sifat-Nya adalah kekal
abadi. Kedua-dua kenyataan Zat-Nya dan kenyataan sifat-Nya bergantung
kepada Zat-Nya.
Penyembahan
yang sebenar hanya boleh dilakukan apabila hijab yang menutup hati
tersingkap agar cahaya abadi menyinarinya. Hanya selepas itu hati
menjadi terang dengan cahaya Ilahi. Hanya selepas itu roh menyaksikan
perumpamaan Ilahi itu.
Tujuan
diciptakan alam maya adalah untuk ditemui khazanah rahsia itu. Allah
berfirman melalui Rasul-Nya: “Aku adalah Perbendaharaan Yang
Tersembunyi. Aku suka dikenali lalu Aku ciptakan makhluk agar Aku
dikenali”.
Ini
bermakna Dia boleh dikenali di dalam dunia ini melalui sifat-sifat-Nya.
Tetapi untuk melihat dan mengenali Zat-Nya sendiri hanyalah boleh
terjadi di akhirat. Di sana melihat Allah adalah secara langsung
sebagaimana yang Dia kehendaki dan yang melihatnya adalah mata bayi
hati. “Beberapa muka pada hari itu berseri-seri. Kepada Tuhannya mereka
melihat”. (Surah Qiamat, ayat 22 & 23).
Nabi
s.a.w bersabda, . “Aku melihat Tuhanku di dalam rupa jejaka tampan”
Mungkin ini adalah bayangan bayi hati. Bayangan adalah cermin. Ia
menjadi alat untuk menzahirkan yang ghaib. Hakikat Allah Yang Maha
Tinggi tidak menyerupai sesuatu samada bayangan atau bentuk. Bayangan
adalah cermin, walaupun yang kelihatan bukanlah cermin dan bukan juga
orang yang melihat ke dalam cermin. Fikirkan tentang itu dan cubalah
memahaminya kerana ia adalah hakikat kepada alam rahasia-rahasia.
Tetapi
semuanya berlaku pada makam sifat. Pada makam Zat semua kenyataan
hilang, lenyap. Orang yang di dalam makam Zat itu sendiri lenyap tetapi
mereka merasai zat itu dan tiada yang lain. Betapa jelas Nabi s.a.w
menggambarkannya, “Aku daripada Allah dan yang beriman daripadaku” . Dan
Allah berfirman melalui Rasul-Nya: “ Aku ciptakan cahaya Muhammad
daripada cahaya Wujud-Ku sendiri”.
Maksud
Wujud Allah adalah Zat-Nya Yang Maha Suci, menyata di dalam
sifat-sifat-Nya Yang Maha Mengasihani. Ini dinyatakan-Nya melalui Rasul-
Nya: “Rahmat-Ku mendahului murka-Ku”.
Rasul
yang dikasihi Allah adalah cahaya kebenaran sebagaimana Allah
berfirman: “Tidak Kami utuskan engkau melainkan menjadi rahmat kepada
seluruh alam” . (Surah Anbiyaa', ayat 107).
“Sesungguhnya
telah datang kepada kamu rasul Kami, menerangkan kepada kamu beberapa
banyak dari (isi Kitab) yang kamu sembunyikan, dan ia tidak ambil tahu
berapa banyak. Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya dari Allah
dan Kitab yang menerangkan”. (Surah Maaidah, ayat 15).
Pentingnya
utusan Allah yang dikasihi-Nya itu jelas dengan firman-Nya kepada
baginda, “Jika tidak kerana engkau Aku tidak ciptakan makhluk”.
_____________________
Tidak ada komentar:
Posting Komentar