Sirrul Assrar dari Syeikh Abdul Qadir Jailani
Ilmu
pengetahuan zahir mengenai benda-benda yang nyata dibahagikan kepada
dua belas bahagian dan ilmu pengetahuan batin juga dibahagikan kepada
dua belas bahagian. Bahagian-bahagian tersebut dibahagikan di kalangan
orang awam dan orang khusus, hamba-hamba Allah yang sejati, menurut
kadar keupayaan dan kebolehan mereka.
Bagi
tujuan yang berkaitan dengan kita pembicaraan ilmiah mengenai ini
dibuat dalam empat bahagian. Bahagian pertama melibatkan peraturan agama
, mengenai kewajipan dan larangan berhubung dengan perkara-perkara dan
peraturan-peraturan di dalam dunia ini. Kedua menyentuh soal pengertian
atau maksud dalaman serta tujuan kepada peraturan-peraturan tersebut dan
bahagian ini dinamakan bidang kerohanian yaitu pengetahuan mengenai
perkara-perkara yang tidak nyata. Ketiga mengenai hakikat kerohanian
yang tersembunyi yang dinamakan kearifan. Keempat mengenai hakikat
dalaman kepada hakikat yaitu mengenai kebenaran yang sebenar-benarnya.
Manusia yang sempurna perlu mempelajari semua bidang atau bahagian
tersebut dan mencari jalan ke arahnya.
Nabi
s.a.w bersabda, “Agama ialah pokok, kerohanian adalah dahannya,
kearifan (makrifat) adalah daunnya, kebenaran (hakikat) adalah buahnya.
Quran dengan ulasannya, keterangannya, terjemahannya dan
ibarat-ibaratnya mengandungi semuanya itu” . Di dalam buku al-Najma
perkataan-perkataan tafsir, ulasan dan takwil serta terjemahan melalui
ibarat dimengertikan sebagai: ulasan terhadap Quran adalah keterangan
dan perincian bagi faedah kefahaman orang awam, sementara terjemahan
melalui ibarat adalah keterangan tentang maksud yang tersirat yang boleh
diselami melalui tafakur yang mendalam serta memperolehi ilham
sebagaimana yang dialami oleh orang-orang beriman yang sejati.
Terjemahan yang demikian adalah untuk hamba-hamba Allah yang khusus lagi
teguh, berterusan di dalam suasana kerohanian mereka dan teguh dengan
pengetahuan yang membolehkan mereka membuat pertimbangan yang benar.
Kaki mereka teguh berpijak di atas bumi sementara hati dan fikiran
mereka menjulang kepada ilmu ketuhanan. Dengan rahmat Allah keadaan
berterusan begini yang tidak bercampur dengan keraguan di tempatkan di
tengah-tengah hati mereka. Hati yang teguh dalam suasana ini bersesuaian
dengan bahagian kalimah tauhid “La ilaha illa Llah” , pengakuan
terakhir keesaan.
“Dia
jualah yang menurunkan Kitab kepada kamu. Sebahagiannya adalah
ayat-ayat yang menghukum, yaitu ibu-ibu bagi Kitab, dan (sebahagian)
yang lain adalah ayat-ayat yang perlukan takwil. Adapun orang-orang yang
di hati mereka ada kesesatan mencari-cari apa yang ditakwil daripadanya
kerana hendak membuat fitnah dan kerana hendak membuat takwilnya
sendiri padahal tidak mengetahui takwilnya melainkan Allah dan
orang-orang yang teguh kuat di dalam ilmu berkata, ‘Kami beriman
kepadanya (kerana) semua itu daripada Tuhan kami', dan tidak mengerti
melainkan orang-orang yang mempunyai fikiran”. (Surah Imraan, ayat 7)
Jika pintu kepada ayat ini terbuka akan terbuka juga semua pintu-pintu kepada alam rahasia batin.
Hamba
Allah yang sejati berkewajipan melaksanakan perintah-perintah-Nya dan
menjauhkan diri daripada larangan-Nya. Dia juga perlu menentang ego
dirinya dan membendung kecenderungan jasad yang tidak sehat. Asas
penentangan ego terhadap agama adalah dalam bentuk khayalan dan gambaran
yang bercanggah dengan kenyataan. Pada peringkat kerohanian ego yang
khianat itu menggalakkan seseorang supaya memperakui dan mengikuti
sebab-sebab dan rangsangan yang hanya hampir dengan kebenaran (bukan
kebenaran yang sejati), walaupun ianya risalat nabi dan fatwa wali yang
telah diubah, juga mengikuti guru yang pendapatnya salah. Pada peringkat
makrifat ego cuba menggalakkan seseorang supaya memperakui kewalian
dirinya sendiri malah ego juga mengheret seseorang kepada mengakui
ketuhanannya – dosa paling besar menganggapkan diri sendiri sebagai
bersekutu dengan Allah. Allah berfirman: “Tidakkah engkau perhatikan
orang yang mengambil hawa nafsunya sebagai tuhan..” (Surah Furqaan, ayat
43).
Tetapi
peringkat kebenaran sejati adalah berbeda. Ego dan iblis tidak boleh
sampai ke sana . Malah malaikat juga tidak sampai ke sana . Sesiapa
sahaja kecuali Allah jika sampai ke sana pasti terbakar. Jibrail berkata
kepada Nabi Muhamamd s.a.w pada sempadan peringkat ini, “Jika aku mara
satu langkah lagi aku akan terbakar menjadi abu”.
Hamba
Allah yang sejati bebas daripada perlawanan egonya dan iblis kerana dia
dilindungi oleh perisai keikhlasan dan kesucian. “Ia (iblis) berkata:
Oleh itu demi kemuliaan-Mu, aku akan sesatkan mereka semuanya, kecuali
di antara mereka hamba-hamba-Mu yang dibersihkan” . (Surah Shad, ayat 82
& 83).
Manusia
tidak dapat mencapai hakikat kecuali dia suci murni kerana sifatsifat
keduniaannya tidak akan meninggalkannya sehinggalah hakikat menyata
dalam dirinya. Ini adalah keikhlasan sejati. Kejahilannya hanya akan
meninggalkannya bila dia menerima pengetahuan tentang Zat Allah. Ini
tidak dapat dicapai dengan pelajaran; hanya Allah tanpa pengantaraan
boleh mengajarnya. Bila Allah Yang Maha Tinggi sendiri yang menjadi
Guru,Dia kurniakan ilmu yang daripada-Nya sebagaimana Dia lakukan kepada
Khaidhir. Kemudian manusia dengan kesedaran yang diperolehinya sampai
kepada peringkat makrifat di mana dia mengenali Tuhannya dan
menyembah-Nya yang dia kenal.
Orang
yang sampai kepada suasana ini memiliki penyaksian roh suci dan dapat
melihat kekasih Allah, Nabi Muhamamd s.a.w. Dia boleh bercakap dengan
baginda s.a.w mengenai segala perkara daripada awal hingga ke akhirnya
dan semua nabi-nabi yang lain memberikannya khabar gembira tentang janji
penyatuan dengan yang dikasihi. Allah menggambarkan suasana ini:
“Kerana Barangsiapa taat kepada Allah dan rasul-Nya, maka mereka beserta
orang-orang yang diberi nikmat daripada nabi-nabi, siddiqin, syuhada
dan salihin dan Alangkah baiknya mereka ini sebagai sahabat rapat”.
(Surah Nisaa' ,ayat 69).
Orang
yang tidak boleh menemui pengetahuan ini di dalam dirinya tidak akan
menjadi arif walaupun dia membaca seribu buah buku. Nikmat yang boleh
diharapkan oleh orang yang mempelajari ilmu zahir ialah syurga; di sana
semua yang dapat dilihat adalah kenyataan sifat-sifat Ilahi dalam bentuk
cahaya. Tidak kira bagaimana sempurna pengetahuannya tentang perkara
nyata yang boleh dilihat dan dipercayai, ia tidak membantu seseorang
untuk masuk kepada suasana kesucian dan mulia, iaitu kehampiran dengan
Allah, kerana seseorang itu perlu terbang ke tempat tersebut dan untuk
terbang perlu kepada dua sayap. Hamba Allah yang sejati adalah yang
terbang ke sana dengan menggunakan dua sayap, iaitu pengetahuan zahir
dan pengetahuan batin, tidak pernah berhenti di tengah jalan, tidak
tertarik dengan apa sahaja yang ditemui dalam perjalanannya. Allah
berfirman melalui rasul-Nya: “Hamba-Ku, jika kamu ingin masuk kepada
kesucian berhampiran dengan-Ku jangan pedulikan dunia ini ataupun alam
tinggi para malaikat, tidak juga yang lebih tinggi di mana kamu boleh
menerima sifat-sifat-Ku yang suci”.
Dunia
kebendaan ini menjadi godaan dan tipu daya syaitan kepada orang yang
berilmu. Alam malaikat menjadi rangsangan kepada orang yang bermakrifat
dan suasana sifat-sifat Ilahi menjadi godaan kepada orang yang memiliki
kesedaran terhadap hakikat. Sesiapa yang berpuas hati dengan salah satu
daripada yang demikian akan terhalang daripada kurniaan Allah yang
membawanya hampir dengan Zat-Nya. Jika mereka tertarik dengan godaan dan
rangsangan tersebut mereka akan berhenti, mereka tidak boleh maju ke
hadapan, mereka tidak boleh terbang lebih tinggi. Walaupun matlamat
mereka adalah kehampiran dengan Pencipta mereka tidak lagi boleh sampai
ke sana . Mereka telah terpedaya, mereka hanya memiliki satu sayap.
Orang
yang mencapai kesedaran tentang hakikat yang sebenar, menerima rahmat
dan kurniaan dari Allah yang tidak pernah mata melihatnya dan tidak
pernah telinga mendengarnya dan tidak pernah hati mengetahui namanya.
Inilah syurga kehampiran dan keakraban dengan Allah. Di sana tidak ada
mahligai permata juga tidak ada bidadari yang cantik sebagai pasangan.
Semoga manusia mengetahui nilai dirinya dan tidak berkehendak, tidak
menuntut apa yang tidak layak baginya. Saidina Ali r.a berkata, “Semoga
Allah merahmati orang yang mengetahui harga dirinya, yang tahu menjaga
diri agar berada di dalam sempadannya, yang memelihara lidahnya, yang
tidak menghabiskan masanya dan umurnya di dalam sia-sia”.
Orang
yang berilmu mestilah menyedari bahawa bayi roh yang lahir dalam
hatinya adalah pengenalan mengenai kemanusiaan yang sebenar, iaitu insan
yang sejati. Dia patut mendidik bayi hati, ajarkan keesaan melalui
berterusan menyedari tentang keesaan – tinggalkan keduniaan kebendaan
ini yang berbilang-bilang, cari alam kerohanian, alam rahsia di mana
tiada yang lain kecuali Zat Allah. Dalam kenyataannya di sana bukan
tempat, ia tidak ada permulaan dan tidak ada penghujung. Bayi hati
terbang melepasi padang yang tiada berkesudahan itu, menyaksikan
perkara-perkara yang tidak pernah dilihat mata sebelumnya, tiada sesiapa
bercerita mengenainya, tiada sesiapa boleh menggambarkannya. Tempat
yang menjadi rumah kediaman bagi mereka yang meninggalkan diri mereka
dan menemui keesaan dengan Tuhan mereka, mereka yang memandang dengan
pandangan yang sama dengan Tuhan mereka, pandangan keesaan. Bila mereka
menyaksikan keindahan dan kemuliaan Tuhan mereka tidak ada apa lagi yang
tinggal dengan mereka. Bila dia melihat matahari dia tidak dapat
melihat yang lain, dia juga tidak dapat melihat dirinya sendiri. Bila
keindahan dan kemurahan Allah menjadi nyata apa lagi yang tinggal dengan
seseorang? Tidak ada apa-apa!
Nabi
s.a.w bersabda, “Seseorang perlu dilahirkan dua kali untuk sampai
kepada alam malaikat”. Ia adalah kelahiran maksud daripada perbuatan dan
kelahiran rohani daripada jasad. Kemungkinan yang demikian ada dengan
manusia. Ini adalah keanehan rahsia manusia. Ia lahir daripada
percampuran pengetahuan tentang agama dan kesedaran terhadap hakikat,
sebagaimana bayi lahir hasil daripada percampuran dua titik air.
“Sesungguhnya
Kami telah jadikan manusia daripada setitik (mani) yang bergiliran,
yang Kami berikan percubaan kepada mereka, iaitu Kami jadikan dia
mendengar dan melihat”. (Surah Insaan, ayat 2).
Bila
maksud menjadi nyata dalam kewujudan ia menjadi mudah untuk melepasi
bahagian yang cetek dan masuk ke dalam laut penciptaan dan membenamkan
dirinya ke dasar hukum-hukum peraturan Allah. Sekalian alam kebendaan
ini hanyalah satu titik jika dibandingkan dengan alam kerohanian. Hanya
bila semua ini difahamkan maka kuasa kerohanian dan cahaya keajaiban
yang bersifat ketuhanan, hakikat yang sebenar-benarnya, memancar ke
dalam dunia tanpa perkataan tanpa suara.
● ● ● ● ● ● ● ● ● ●
Tidak ada komentar:
Posting Komentar