Sirrul Assrar dari Syeikh Abdul Qadir Jailani
Allah
Yang Maha Tinggi menciptakan roh suci sebagai ciptaan yang paling
sempurna, yang pertama diciptakan, di dalam alam kewujudan mutlak bagi
Zat-Nya. Kemudian Dia berkehendak menghantarkannya kepada alam rendah.
Tujuan Dia berbuat demikian ialah bagi mengajar roh suci mencari jalan
kembali kepada yang sebenar di tahap Maha Kuasa, mencari kedudukannya
yang dahulu yang hampir dan akrab dengan Allah. Dihantarkan-Nya roh suci
kepada perhentian utusan-utusan-Nya, wali-wali-Nya, kekasih-kekasih dan
sahabat-sahabat-Nya. Dalam perjalanannya, Allah menghantarkannya
mula-mula kepada kedudukan akal asbab bagi keesaan, bagi roh universal,
alam nama-nama dan sifat-sifat Ilahi, alam hakikat kepada Muhammad
s.a.w. Roh suci memiliki dan membawa bersama-samanya benih kesatuan.
Apabila melalui alam ini ia dipakaikan cahaya suci dan dinamakan ‘roh
sultan'. Apabila melalui alam malaikat yang menjadi perantaraan kepada
mimpi-mimpi, ia mendapat nama ‘roh perpindahan'. Bila akhirnya ia turun
kepada dunia kebendaan ini ia dibaluti dengan daging yang Allah ciptakan
untuk kesesuaian makhluk-Nya. Ia dibaluti oleh jirim yang kasar bagi
menyelamatkan dunia ini kerana dunia kebendaan jika berhubung secara
langsung dengan roh suci maka dunia kebendaan akan terbakar menjadi abu.
Dalam hubungannya dengan dunia ini ia dikenali sebagai kehidupan, roh
manusia.
Tujuan
roh suci dihantar ke tempat ciptaan yang paling rendah ini ialah supaya
ia mencari jalan kembali kepada kedudukannya yang asal, makam
kehampiran, ketika ia masih di dalam bentuk berdaging dan bertulang ini.
Ia sepatutnya datang ke alam benda yang kasar ini, dan dengan melalui
hatinya yang berada di dalam mayat ini, menanamkan benih kesatuan dan
menunbuhkan pokok keesaan di dalam dunia ini. Akar pokok masih berada
pada tempat asalnya. Dahannya memenuhi ruang kebahagiaan, dan di sana
demi keredaan Allah, mengeluarkan buah kesatuan. Kemudian di dalam bumi
hati roh itu menanamkan benih agama dan bercita-cita menumbuhkan pokok
agama agar diperolehi buahnya, tiap satunya akan menaikkannya kepada
peringkat yang lebih hampir dengan Allah.
Allah
membuatkan jasad-jasad atau tubuh-tubuh untuk dimasuki oleh roh-roh dan
bagi roh-roh ini masing-masing mempunyai nama yang berbeza-beza. Dia
bena ruang penyesuaian di dalam tubuh. Diletakkan-Nya roh manusia, roh
kehidupan di antara daging dan darah. Diletakkan-Nya roh suci di
tengah-tengah hati, di mana dibena ruang bagi jirim yang sangat seni
untuk menyimpan rahasia di antara Allah dengan hamba-Nya. Roh-roh ini
berada pada tempat yang berbeda-beda dalam tubuh, dengan tugas yang
berbeda, urusan yang berbeda, masing-masing umpama membeli dan menjual
barang yang berlainan, mendapat faedah yang berbeda. Perniagaan mereka
sentiasa membawakan kepada mereka banyak manfaat dalam bentuk nikmati
dan rahmat Allah. “Daripada apa yang Kami berikan kepada mereka, secara
sembunyi atau terang-terang, (mereka) mengharapkan perniagaan yang tidak
akan rugi”. (Surah Fatir, ayat 29).
Layaklah
bagi setiap manusia mengetahui urusannya di dalam alam kewujudan
dirinya sendiri dan memahami tujuannya. Dia mestilah faham bahawa dia
tidak boleh meminda apa yang telah dihukumkan sebagai benar untuknya dan
digantungkan dilehernya. Bagi orang yang mahu meminda apa yang telah
dihukumkan untuknya, yang terikat dengan cita-cita dan dunia ini Allah
berkata: “Tidaklah (mahu) dia ketahui (bagaimana keadaan) apabila
dibongkarkan apa-apa yang di dalam kubur? Dan dizahirkan apa-apa yang di
dalam dada?” (Surah ‘Aadiyat, ayat 9). “Dan tiap-tiap manusia Kami
gantungkan (catatan) amalannya pada tengkuknya…” (Surah Bani Israil,
ayat 13).
Tidak ada komentar:
Posting Komentar